Wednesday, February 11, 2009

Pakatan Pembangkang Menjurus "KEHANCURAN"



KUALA LUMPUR 10 Feb. - Pergolakan politik yang dihadapi pakatan pembangkang di Perak seperti yang ditimbulkan Pengerusi DAP, Karpal Singh adalah titik permulaan kepada masalah besar dan menjurus kepada kehancurannya.
Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamed Mustapa Ishak berkata, kecaman Karpal terhadap penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu jelas memperlihatkan titik permulaan masalah mereka.
Menurutnya, pakatan pembangkang tersalah percaturan sehingga membolehkan Barisan Nasional (BN) mengatur strategi dan menawan hati tiga ahli Dewan Undangan (DUN) Perak menyokongnya.
"Pakatan pembangkang kini semakin khuatir jika trend lompat parti ini bakal diikuti oleh negeri-negeri lain yang memihak kepada BN.
"DAP sangat kecewa dan tidak mudah untuk memaafkan setelah kehilangan kuasa di Perak, sebuah negeri yang besar dan kaya," kata Mohamed ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamed berkata, PKR dan Pas turut bimbang terhadap kebangkitan orang Melayu di Perak yang menyokong tindakan Sultan Perak melantik Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dari BN untuk menggantikan Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.
Katanya, kedudukan pakatan pembangkang rapuh kerana memenangi banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu hanya dengan memainkan isu-isu popular sehingga rakyat meragui BN.
"DAP cuba mengalih pandangan rakyat dan mencari 'kambing hitam' supaya masalah sebenar yang mereka hadapi dilindungi," tegasnya.
Pensyarah di Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad pula mengingatkan BN mengamalkan corak kepimpinan ikhlas dan bersih jika ingin mengekalkan status quo.
Menurutnya, walaupun Karpal mengutuk kepimpinan Anwar secara terbuka, namun rakyat masih celik untuk menilai keikhlasan kedua-dua pihak BN dan pakatan pembangkang untuk memperjuangkan hak mereka.
"BN perlu ingat bahawa Karpal dan Anwar masih mempunyai pengikut dan penyokong yang taksub dan pengaruh mereka tidak mudah diketepikan begitu saja," katanya.
Jelasnya, BN perlu membawa perubahan dengan memperjuangkan isu-isu mengenai keselesaan, keadilan dan juga harga barangan untuk kepentingan semua lapisan masyarakat.
Pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian berpendapat, Karpal cuba mengalih pandangan rakyat kepada Anwar bagi mengelak masalah dalaman yang dihadapi DAP diketahui umum.
Katanya, terlalu awal hendak meramalkan bahawa pakatan pembangkang akan menghadapi kehancuran melainkan masalah pergeseran berterusan berlaku di kalangan anggotanya.
Beliau menjelaskan, Karpal menyuarakan kekecewaannya setelah menyedari tidak mendapat sokongan daripada pemimpin-pemimpin tertentu walaupun menjadi Pengerusi DAP.
Kata Sivamurugan, pemimpin-pemimpin DAP terbabit menurut Karpal lebih menyokong Anwar.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya BN jangan terlalu yakin dengan kedudukan di Perak sebaliknya mengkaji secara mendalam mengapa Karpal membuat kenyataan menyalahkan Anwar secara terbuka.
"Kita tidak mahu strategi yang digunakan oleh Karpal dalam pilihan raya kecil di Kuala Terengganu menggunakan isu 'hudud' digunakan dengan cara dan niat yang sama dalam kes di Perak," jelasnya.
UM 11/02/2009 (R)