Thursday, February 5, 2009

Kembalikan Ketenangan Politik Perak - Itu Yang UMNO BTP Inginkan



5hb Feb 2009, AKHIRNYA setelah 11 bulan memerintah, kerajaan negeri Perak yang ditubuhkan dengan pakatan antara DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas, tumbang semalam.Pakatan pembangkang yang sebelum ini mendakwa kerajaan negeri masih stabil walaupun dua Ahli Dewan Undangan Negerinya meletakkan jawatan, akhirnya terpaksa akur dengan perkembangan terkini.
Langkah Jamaluddin Mohd. Radzi (PKR-Behrang), Mohd. Osman Mohd. Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan keluar dari parti masing-masing dan menjadi ahli Bebas diikuti oleh Datuk Nasharuddin Hashim (Bota) kembali kepada BN sudah cukup memastikan riwayat kerajaan negeri Perak berakhir.Sehubungan itu, Barisan Nasional (BN) yang kini mempunyai 28 kerusi termasuk mendapat sokongan tiga wakil rakyat Bebas berkenaan berhak menubuhkan kerajaan negeri biarpun mempunyai jumlah kerusi yang sama dengan pembangkang.
Ia sekali gus bermakna BN kembali berkuasa di Perak yang sememangnya sejak dulu lagi dianggap kubu kuat parti tersebut.Apa yang diharapkan perkembangan terbaru ini amat menamatkan segala kekalutan yang berlaku dalam arena politik Perak.Walaupun mungkin ramai yang mengharapkan pilihan raya diadakan semula, namun dalam situasi ekonomi sekarang, jalan terbaik tanpa merugikan mana-mana pihak terutamanya rakyat harus dipilih.Justeru langkah membenarkan BN kembali memerintah dilihat langkah terbaik kerana rakyat tidak seharusnya terus dibebani dengan perbalahan politik yang berlanjutan.
Pakatan pembangkang perlu menerima realiti politik ini dengan terbuka dan mengamalkan sikap berjiwa besar membenarkan BN memerintah dengan tenang.Rakyat Perak tidak harus lagi dibebani dengan kekecohan politik kerana negeri itu memerlukan kestabilan dalam usaha membolehkan segala perancangan bagi membela nasib rakyat dapat dilaksanakan.Bagi BN pula sudah pastilah, kejayaan menubuhkan kerajaan negeri tanpa diduga ini akan memberikan keinsafan yang cukup besar kepada mereka.
Parti itu tentunya akan berusaha untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah baru itu dengan berkesan serta tidak akan melakukan tindakan yang boleh menggugat kedudukan politik mereka.Namun begitu bagi memastikan kestabilan berkekalan, tiga wakil rakyat yang terlibat perlu keluar daripada barisan Bebas dan menyertai BN.Ini bagi membolehkan tidak timbul keraguan selama mana kerajaan negeri yang diwujudkan oleh BN mampu bertahan.BN memerlukan sebuah kerajaan yang kukuh bagi membolehkan segala agenda mentadbir negeri dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa perlu memikirkan mengenai kerapuhan kedudukannya.
Hakikatnya, rakyat Perak tidak perlu merasa gusar dengan kewujudan semula kerajaan negeri di bawah BN kerana sebelum pilihan raya umum lalu, parti itu sememangnya terbukti sebuah kerajaan yang mampu membela nasib rakyat.Semoga segala yang berlaku di Perak juga memberi pengajaran kepada semua pihak bahawa pilihan raya bukanlah medan ujian sebaliknya penentuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat.
Petikan dari Utusan Malaysia 5/2/09 (K)