Tuesday, May 18, 2010

Keluhan Penduduk Desa Puteri "Kawasan Bandar, Jalan Tanah Merah"..

Petikan SH 17/5/2010,

RAWANG – Penduduk di Desa Puteri, Bandar Tasik Puteri amat memerlukan jalan pintas untuk menghubungkan mereka ke Pekan Kundang sejak lebih tiga tahun lalu. Namun, melihat laluan yang digunakan sekitar 200 unit rumah penduduk di situ, termasuk lebih 5,000 unit rumah sekitarnya, situasi jalan tanah merah dan berlopak-lopak yang terpaksa diharungi amat menyedihkan. Pekerja swasta, Fitri Abdul Rahim, 32, berkata, wujud kejanggalan berikutan dalam keadaan tinggal di kawasan berstatus bandar, penduduk perlu melalui kemudahan sejauh kira-kira satu kilometer itu setiap hari.

Menurutnya, jika mengikut laluan biasa di Jalan Sungai Bakau–Batu Arang, ia akan mengambil masa lebih sejam untuk keluar ke Kundang di laluan sejauh 35 kilometer. “Jalan pintas ini dari Desa Puteri untuk ke Kundang hanya mengambil masa kira-kira lima minit. Manakala sekiranya jalan kurang memuaskan seperti sekarang, perlu mengambil masa 15 minit. “Kita hairan kerana semasa membeli rumah ini kami dijanjikan kemudahan laluan di sini (jalan pintas). Malah papan tanda menunjukkan laluan berkenaan ada ditunjukkan, tetapi lihatlah bagaimana keadaannya,” katanya. Dalam pada itu, Fitri berkata, jika jalan itu kepunyaan pihak persendirian mahupun syarikat, papan tanda laluan berkenaan tidak seharusnya diletakkan semata-mata untuk melariskan jualan rumah. Menurutnya, dia berharap pihak seperti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dapat memantau masalah itu memandangkan pelan pembangunan perumahan berkenaan dihantar pada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Fitri dalam pada itu juga memberitahu, bukan sahaja penduduk, malahan kenderaan agensi seperti pihak MPS dan bomba, turut dilihat menggunakan laluan berkenaan. Seorang lagi penduduk, Roshita Salleh, 45, berkata, laluan pintas itu amat diperlukan penduduk untuk ke klinik dan hospital kerajaan terdekat di Sungai Buloh. “Sebagai contoh, saya sendiri penghidap asma dan kebetulan tempoh hari, saya diserang penyakit itu dan perlu segera ke hospital kerana gangguan pernafasan. “Jika tidak menggunakan laluan ini untuk ke klinik swasta terdekat di Rahman Putra, saya sudah pasti susah kerana di Desa Puteri ini pun tiada kemudahan klinik,” katanya.