Sunday, May 30, 2010

Jalinan Kasih PERKIM, Kelab Motorcross BTP bersama masyarakat Orang Asli Pos Bersih - Ulu Slim




Ulu Slim,Perak 29/5/2010

PERKIM cawangan Bandar Tasik Puteri bersama Kelab Motocross BTP, Manjong, Tg.Malim dan Slim River, mengadakan program Jalinan Kasih bersama Remaja dan Masyarakat Orang Asli Pos Bersih di Ulu Slim Perak. Program ini bertujuan mengeratkan hubungan antara masyarakat Orang Asli dan masyarakat luar. Berbagai program yang dirancangkan telah dijalankan bersama mereka.

Kali ini pendekatannya ada kelainan sedikit, kata Datuk Hasbullah Bin L.Isa selaku Setiausaha Agung Persatuan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), di mana kita berkerjasama dengan Kelab Motorcross, untuk memberikan satu pendedahan kepada mereka (Masyarakat Orang Asli) tentang sukan lasak Motorcross. Dengan kerjasama ini, ia dapat membantu pihak PERKIM dalam merapatkan Jalinan Kasih bersama masyarakat Orang Asli serta memberi pendedahan tentang Islam kepada mereka.

Hadir sama di dalam program ini, Sdra.Dr.Ilham selaku Penasihat kepada Kelab Motorcross BTP, Sdra. Mohd Nasir Pengerusi Kelab Motorcross BTP, Sdra.Wahid Pengerusi PERKIM Cawangan BTP, Sdra.Syed Ketua UMNO Cawangan BTP dan Sdra.Mohd Khairuddin Ketua Pemuda UMNO Cawangan BTP.

Usaha ini amat baik dan perlu diketengahkan sebagai satu landasan serta menjadi "trademark" kepada mana-mana pertubuhan dan individu bagi melihat serta mengenalpasti keadaan mereka yang perlu diberi perhatian samada dari segi kemasyarakatan, keislamannya dan keperluan-keperluan lain. Apa yang pasti mereka ini jangan dipandang sepi atau dibiarkan.

Para pendakwah Islam juga harus pergi dan menjelaskan kepada mereka tentang agama Islam. Kita jangan alpa kerana ini merupakan tanggungjawab kita mendidik mereka. Sememangnya masyarakat mereka ini harus juga diberikan pendedahan kepada dunia luar, jika tidak mereka merasakan diri mereka terpinggir. Ada di antara mereka-mereka ini digunakan oleh pihak tertentu dalam mencapai kepentingan tertentu. Kita tidak mahu golongan mereka ini dimanipulasikan, sebaliknya kita perlu jaga hak mereka.

Apa-apapun program ini berjaya, samada di pihak mereka atau kita, mereka mendapat pendedahan dan kita memahami tentang masyarakat mereka serta kehendaknya. Usaha ini perlu diteruskan dan bukan berpuashati hanya sekali mengadakan program, malah perlu kerap berdamping dengan mereka. Sasaran perlu ada, kerana golongan remaja mereka perlu dijaga serta di beri perhatian.