Wednesday, April 29, 2009

ULAMA "mi celup" dalam PAS

Pemimpin UMNO negeri bersetuju wujudnya golongan ulama ‘mi celup’ dalam Pas sehingga berlakunya perubahan dalam perjuangan asal parti itu yang dulunya diterajui golongan ulama. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus berkata, jumlah golongan ulama yang semakin berkurangan dalam parti tersebut menjadi faktor mengapa parti itu kini tersasar dari perjuangan Islam. “Saya setuju terdapat golongan ulama ‘mi celup’ dalam Pas kerana dahulu memang Pas berlandaskan kepimpinan ulama namun sekarang golongan berkenaan makin berkurangan dan menjadikannya jauh tersasar daripada perjuangan Islam yang dibawa. “Golongan berkenaan lebih mementingkan kuasa dan bukanya agama, saya tidak hairan jika Nik Abduh membuat kenyataan sedemikian kerana ia telah lama berlaku dalam kepimpinan Pas,” katanya kepada Sinar Harian semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan anak Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz terdapat golongan ulama ‘mi celup’ yang hanya menghafal istilah-istilah agama namun tidak diamalkan.
Abdul Shukur berkata, kenyataan Nik Abduh itu merupakan satu pengajaran kepada Pas kerana ditempelak oleh ahli parti sendiri yang mendedahkan kepincangan dalam parti. Katanya, pemimpin Pas kini juga dilihat gemar mengambil pendekatan ‘menghalalkan cara’ bagi mendapat sokongan dan populariti dalam kala-ngan masyarakat khususnya yang beragama Islam. “Kebelakangan ini Pas dilihat mengambil pendekatan ‘menghalalkan cara’ dengan mengizinkan perkara yang sepatutnya tidak boleh dilakukan bagi mendapatkan sokongan. “Contohnya seperti berlaku di Bukit Gantang di mana mereka menganggap orang bukan Islam yang membaca ayat al-Quran dengan tidak betul sebutannya sebagai perkara yang baik untuk menarik golongan ini memeluk Islam sedangkan itu bukanlah caranya,” katanya. Menurutnya, pemimpin Pas kini juga pandai mengaburi mata masyarakat melalui cara mereka berpakaian dan perwatakan ulama yang dibawa. Katanya, golongan berkenaan juga gemar menunjuk-nunjuk kepada masyarakat bahawa mereka merupakan pemimpin Islam sedangkan sikap dan percakapan mereka jauh lebih kasar berbanding pemimpin UMNO.
“Orang Islam jangan tertipu dengan cara pakaian mereka yang berjubah dan berserban putih, hanya menghafal satu dua ayat al-Quran dalam ceramah yang diadakan sudah dianggap sebagai ulama. “Kita tidak berpakaian sebegitu dan tidak menunjuk-nunjuk dengan mengadakan sembahyang hajat di padang mahupun stadium sedangkan terdapat masjid yang besar mampu memuatkan beribu-ribu orang, tindakan ini seolah-olah menunjukkan mereka lebih Islam,” katanya.

SH 10:02am (R)